Puasa Tetapi Tidak Solat(ingkar solat)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya mendapat soalan mengenai orang yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Banyak fatwa ditemui dan pelbagai ragam fatwanya.
Ini semua berpaksi kepada hukum 
meninggalkan solat dengan sengaja. Apakah jatuh kafir atau tidak. 
Sebahagian menyatakan hanya jatuh kafir jika menolak kewajipan solat, 
dan berdosa besar meninggalkannya jika masih beriman solat itu wajib. 
Sedangkan ada sekelompok ulama yang lain berpegang meninggalkan solat 
dengan sengaja jatuh hukum sebagai kafir tidak kira seseorang itu 
menolak kewajipan solat atau tidak.
Tidak kiralah yang mana satu antara 
kedua pendapat ulama’ ini. Kita mengetahui bahawa paling ringan, 
meninggalkan solat ada dosa yang sangat besar. Silap-silap lebih besar 
daripada berzina, minum arak dan sebagainya. Boleh jadi ia dosa yang 
bawah sedikit sahaja daripada syirik.
Jika membuka aurat, menyebabkan pahala 
puasa berkurangan, mengumpat menyebabkan pahala puasa berkurangan, 
berbohong menyebabkan pahala puasa berkurangan, lalu apa lagi jika 
meninggalkan solat. Puasa kita hanya mendapat lapar dan dahaga, dan kita
 menanggung dosa yang sangat besar, yang mana kita berada di sempadan 
antara iman dan kufur.
Nasihat saya: Jadikanlah Ramadhan ini 
akademi untuk kita melengkapkan kewajipan yang selama ini kita abaikan. 
Tidak mengapa jika selepas Isya’ anda mahu pulang tidur, menonton 
televisyen, walau itu satu sikap yang tidak elok. Tetapi sangatlah 
tercela, jika kita berpuasa, tetapi solat wajib tidak didirikan. 
Meninggalkan solat lebih jijik daripada berzina, meliwat, minum arak, 
melacur, buka aurat, dating………. Apakah kita mahu puasa kita sekadar 
lapar dan dahaga. Puasa apakah ini ketika mana kita malas dan lalai 
daripada solat. Puasa apakah ini?
Saya ingin berkongsi fatwa Shaikh 
al-Uthaimin. Suka diingatkan beliau berpegang bahawa kafir jika 
meninggalkan solat dengan sengaja. Jadi beliau menyimpulkan puasa orang 
yang tidak solat, tidak sah. Sifirnya mudah, amalan orang kafir, 
semuanya tidak sah. Teruskan membaca agar kita dapat memahami betapa 
besarnya dosa meninggalkan solat.
Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin -rahimahullah- pernah ditanya: “Apa hukum orang yang berpuasa namun meninggalkan solat?”
Beliau rahimahullah menjawab:
“Puasa yang dilakukan oleh orang yang 
meninggalkan solat tidaklah diterima kerana orang yang meninggalkan 
solat adalah kafir dan murtad. Dalil bahawa meninggalkan shalat termasuk
 bentuk kekafiran adalah firman Allah Ta’ala,
فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ 
وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَنُفَصِّلُ الْآَيَاتِ
 لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
“Jika mereka bertaubat, mendirikan 
solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu 
seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.” 
(Qs. At Taubah [9]: 11)
Alasan lain adalah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ
“Pembatas antara seorang muslim dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (HR. Muslim no. 82)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda,
الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Perjanjian antara kami dan mereka 
(orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya maka 
dia telah kafir.” (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa’i, Ibnu Majah. 
Dikatakan shahih oleh Syaikh Al Albani)
Pendapat yang mengatakan bahawa 
meninggalkan solat merupakan suatu kekafiran adalah pendapat majoriti 
sahabat Nabi bahkan dapat dikatakan pendapat tersebut adalah ijma’ 
(kesepakatan) para sahabat.
‘Abdullah bin Syaqiq –rahimahullah- 
(seorang tabi’in yang masyhur) mengatakan, “Para sahabat Nabi 
shallallahu ‘alaihi wa sallam tidaklah pernah menganggap suatu amalan 
yang apabila seseorang meninggalkannya akan menyebabkan dia kafir selain
 perkara solat.” [Perkataan
ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi dari 
'Abdullah bin Syaqiq Al 'Aqliy; seorang tabi'in. Hakim mengatakan bahawa
 hadits ini bersambung dengan menyebut Abu Hurairah di dalamnya. Dan 
sanad (periwayat) hadits ini adalah shohih. Lihat Ats Tsamar Al 
Mustathob fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, hal. 52, -pen]
Oleh kerana itu, apabila 
seseorang berpuasa namun dia meninggalkan solat, puasa yang dia lakukan 
tidaklah sah (tidak diterima). Amalan puasa yang dia lakukan tidaklah 
bermanfaat pada hari kiamat nanti.
Oleh sebab itu, kami katakan, “Solatlah
 kemudian tunaikanlah puasa.” Adapun jika engkau puasa namun tidak 
solat, amalan puasamu akan tertolak kerana orang kafir (disebabkan 
meninggalkan solat) tidak diterima ibadah daripadanya.
[Sumber: Majmu' Fatawa wa Rosa-il Ibnu 'Utsaimin, 17/62, Asy Syamilah]


 AMAL FM
AMAL FM







 
 
